KARNIVAL
MOH GOGAR KPM BERANANG 2013
DERETAN khemah yang
menempatkan gerai-gerai jualan memenuhi kawasan luar pekarangan Kolej
Profesional Mara Beranang (KPMB), Selangor pada pagi Sabtu lalu. Jeritan suara
peniaga mempromosikan produk masing-masing turut kedengaran sebaik kaki
melangkah keluar dari kereta.
Semakin dihampiri,
suasana riuh-rendah semakin terasa dengan alunan lagu-lagu rancak yang
berkumandang.
Di kawasan padang pula,
kelihatan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun bersemangat
mengikuti klinik bola sepak yang dikendalikan oleh Akademi Bola Sepak Nuri.
Selain itu, terdapat
juga aktiviti sukaneka, pertandingan futsal terbuka dan paintball di beberapa
lokasi berhampiran kolej tersebut.
Kesemua acara berkenaan
diadakan sempena Karnival Moh Gogar KPMB yang berlangsung selama dua hari pada
6 dan 7 April lalu.
Pengarah Program
Karnival Moh Gogar KPMB, Nurul Amiza Mohd. Norhizam, 19, berkata, penganjuran
acara itu bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar melibatkan diri
dalam aktiviti luar.
“Selain memberi tumpuan
terhadap perkara hakiki iaitu menuntut ilmu, kami juga mahu pelajar didedahkan
dengan pelbagai kemahiran asas seperti berniaga dan menguruskan program,” ujar
Nurul Amiza ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sempena karnival itu
juga, KPMB turut melancarkan Sekretariat Rakan Muda dalam kalangan pelajar
kolej tersebut.
Pengarah KPMB, Dr. Mohd
Yatim Nawai, 57, memberitahu, pihaknya menyasarkan keahlian Rakan Muda disertai
semua pelajar bagi melahirkan keseimbangan dalam akademik dan aktiviti luar.
“Di KPMB, kami tidak
mementingkan kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi ia turut melibatkan
pelbagai aspek. Saya mahu generasi Y atau golongan muda masa kini sensitif dan
peka dengan keadaan sekeliling,” jelas Mohd. Yatim.
Dalam pada itu, Pengarah
Jabatan Belia Selangor, Makhruzi Ikhsan, 56, menyambut baik hasrat KPMB
mewujudkan Sekretariat Rakan Muda di peringkat kolej mereka.
“Kami amat
mengalu-alukan mana-mana institusi yang berminat dengan Rakan Muda. Melalui
program ini, ia membuka peluang kepada golongan belia untuk melibatkan diri
dalam aktiviti dan kerja-kerja kesukarelawan yang semakin mendapat tempat di
hati masyarakat.
“Penglibatan dalam Rakan
Muda juga membolehkan setiap ahlinya menjalani gaya hidup sihat sekali gus
melahirkan masyarakat intelek yang mempunyai jiwa kesukarelawan,” ungkap
Makhruzi.
KPMB mempunyai pelajar
seramai 1,400 yang kesemuanya terdiri daripada kaum Melayu dan Bumiputera.
Kolej itu menyediakan empat kursus utama iaitu Diploma Perakaunan, Pengurusan
Perniagaan, Sains Komputer dan Perniagaan Agro.
Program Karnival Moh
Gogar KPMB itu dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar KPMB dengan kerjasama pelajar
Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Perniagaan Agro.
Untuk maklumat lanjut
mengenai KPMB, layari laman web kpmb.edu.my atau hubungi talian 03-8766 8935.
No comments:
Post a Comment