LAPORAN

UPSI Terbilang di Hamparan Warisan Tiga Generasi 








Pendahuluan

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang penting dalam lipatan sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah kolej ke sebuah universiti. Agak menarik apabila meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama. Secara kronologi, perkembangan UPSI melalui tiga era, iaitu era SITC (29 November 1922 - 1957), era MPSI (1957 - 1987) dan era IPSI (21 Februari 1987 - April 1997). Tiga era ini juga memperlihatkan wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun. Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.

Maktab Latihan Guru

Peranan R.O. Winstedt tercatat dalam sejarah SITC sebagai tokoh terawal yang mengilhamkan cadangan agar ditubuhkan sebuah maktab pusat bagi melatih guru dan bagi meluaskan skop pendidikan pada ketika itu. Ilham ini timbul setelah kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Cadangan ini dibawa ke Persidangan Residen-Residen pada 10 Mei 1917.
Beliau juga turut menyarankan supaya tapak tempat maktab yang bakal didirikan itu mestilah mempunyai tanah yang subur, bagi menampung keperluan kurikulum yang banyak berteraskan kepada kemahiran dalam bidang pertanian. Tempat yang dipilih juga seharusnya berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan berhampiran dengan sungai. Satu lagi aspek yang difikirkan ialah komposisi penduduknya haruslah sederhana ramai.

Lokasi

Dalam proses mencari tempat yang sesuai itu, Tanjong Malim dilihat sebagai satu-satunya tempat yang paling menepati ciri-ciri lokasi dan faktor geografi sebagaimana yang dihasratkan oleh Winstedt. Pada 26 Mei 1917, Tanjong Malim secara rasmi dipilih sebagai tempat pembinaan maktab. Tanah seluas 64 hektar telah dibeli di Tanjong Malim dengan harga $49,000.00 untuk dijadikan kampus dan kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan Ogos 1919. Reka bentuk bangunannya berunsur seni bina ala-Gothic Zaman Pertengahan. Pada tahun 1922, pembinaan maktab siap sepenuhnya. Pada 29 November 1922 SITC dirasmikan oleh Sir W. George Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Sultan Idris Training College (SITC)

Pada tarikh yang sama juga cadangan untuk memberikan nama maktab ini sebagai Sultan Idris Training College (SITC) telah dimaklumkan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah. Cadangan ini diperkenankan baginda Sultan. Nama Almarhum Sultan Idris Shah diabadikan pada nama maktab ini sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar Almarhum dalam bidang pendidikan. Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah ialah Sultan Perak yang ke-28 yang memerintah negeri Perak antara tahun 1889 - 1916.

Penubuhan SITC dianggap sebagai satu era baru yang menyemarakkan alam pemikiran dan pendidikan bangsa Melayu. Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat, Tuan Wolffe dalam ucapannya sewaktu perasmian SITC menyatakan bahawa, hari tersebut menandakan titik bersejarah bagi orang Melayu kerana ia (penubuhan SITC) merupakan titik tolak dalam perkembangan pendidikan vernakular Melayu. Menurutnya lagi, orang Melayu merasakan suatu pengiktirafan besar serta penghargaan yang tidak ada tolok bandingnya bagi peningkatan taraf pelajaran anak-anak Melayu.

SITC berkembang pantas. Kemasukan pelatihnya pula tidak terbatas hanya kepada orang Melayu di Tanah Melayu, malah meluas hingga ke Brunei, British Borneo dan Singapura. Pada bulan Mac 1924, SITC mengeluarkan guru terlatihnya yang pertama seramai 58 orang. Jumlah guru terlatih yang dikeluarkan terus meningkat dari setahun ke setahun. Dalam era ini jugalah bermulanya usaha membina peradaban bangsa menerusi bahasa Melayu. Pejabat Karang-Mengarang menjadi lidah rasmi yang memartabatkan dan meninggikan bahasa ibunda. Usaha ini berkembang subur di tangan Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.

Kurikulum latihan perguruan di SITC tertumpu kepada pengetahuan asas keguruan di samping kraf tangan dan pertanian. Sejak ditubuhkan, institusi ini terus unggul berbakti kepada bangsa dan negara. Ia disifatkan sebagai ‘universiti’ yang unggul bagi melatih guru-guru Melayu.

Pengambilan Pelajar SITC

Bermula 19 November 1922, pengambilan kumpulan pertama pelatih lelaki berjumlah 115 orang telah mendaftar. Beberapa hari selepas pendaftaran itu, sejumlah lima orang pelatih lagi diterima masuk yang membawa jumlah keseluruhannya 120 orang. Kumpulan pertama guru pelatih ini sebenarnya terdiri daripada 70 orang dari Maktab Perguruan Melayu Melaka dan 50 orang lagi dari Maktab Perguruan Matang. Jumlah tenaga pengajarnya pula adalah seramai empat orang berbangsa Eropah, tujuh orang guru Melayu, seorang guru anyaman dari Manila dan seorang guru al-Quran dari Matang. Mereka ialah O.T. Dussek (Pengetua), M.R. Holgate, W.B.O. Sir Williams, D.H. Ghrist, Mohammad Hashim Hj Taib, Noordin Hj Harun, Ibrahim Dato’ Muda Linggi, Abdul Rahman Hj Muhyiddin, Hanafiah Md Saman, Mohamad Said Hj Hussin, Abdul Hadi, Mr. W. Olaguera (Manila) dan Lebai Jaafar Abdul Rashid (guru al-Quran). O.T. Dussek dilantik sebagai Pengetua SITC yang pertama. Pada tahun 1923 jumlah tenaga pengajar bertambah. Pertambahan ini  melibatkan sepuluh orang guru berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Filipina. Guru-guru ini pada asalnya merupakan tenaga pengajar dari Maktab Perguruan Matang yang telah ditutup dan sebahagiannya dari Maktab Perguruan Melaka.

Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)
Pada tahun 1957 nama SITC ditukarkan kepada nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Langkah ini dilakukan bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak. Dari tarikh ini bermulalah era MPSI yang membawa wajah, watak dan keperibadian Melayu, apabila pentadbiran SITC yang selama ini diketuai orang Eropah beralih tangan kepada cendekiawan Melayu.

Meskipun berubah pada nama, namun tradisi SITC menjadi akar yang menumbuhkan kecemerlangan institusi ini dalam era MPSI dan era-era seterusnya. Peranan MPSI tidak setakat melatih dan mendidik bakal guru, namun menjadi medan pengungkap bicara dan suara hati para cerdik pandai dan nasionalis Melayu. Pembinaan bahasa Melayu sebagai satu korpus dikukuhkan lagi dengan kemunculan tradisi penulisan kreatif dalam kalangan guru pelatih dan tenaga pengajar. Tradisi ini sudah bermula pada era SITC di tangan Harun Aminurrashid dan Punggok, tetapi berkembang luas dalam era MPSI. Pada waktu inilah munculnya beberapa tokoh besar penyair, cerpenis dan novelis Melayu. Antaranya ialah A. Wahab Ali, Ali Majod, Kasmani Haji Arif, Awang Had Salleh, Hassan Ali, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon Ahmad, Suratman Markasan, Masuri S.N., Yura Halim dan lain-lain lagi.

Pada 13 Januari 1975, MPSI memecah tradisinya apabila menerima 140 orang penuntut perempuan. Perkembangan baharu ini telah mewujudkan senario baru dalam tradisi MPSI. Meskipun penuntut perempuan diterima masuk, namun MPSI terus ke hadapan sebagai sebuah institusi perguruan yang cemerlang dan terunggul tanpa membezakan taraf dan jantina.
Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI)

Era MPSI berakhir pada 21 Februari 1987 apabila tarafnya sebagai sebuah maktab ditingkatkan menjadi sebuah institut dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Era IPSI merupakan satu zaman mencabar, kerana kedudukannya sebagai sebuah institusi tidaklah hanya meninggikan nama semata-mata, tetapi turut melonjakkan harapan anak bangsa dan masyarakat Melayu serta kerajaan yang mentadbir untuk melihat IPSI benar-benar menjadi tonggak harapan bagi mempertingkatkan taraf pendidikan rakyat, khususnya orang-orang Melayu. Justeru, IPSI mengorak langkah panjang dengan memperkenalkan pelbagai rancangan. Antaranya ialah mengadakan Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) pada tahun 1987 dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bermula pada tahun 1988. Pada tahun 1993 Kursus Kembaran dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pula diadakan dalam bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani.
Peranan SITC dan MPSI telah diperkasakan dalam era IPSI menerusi rangkaian kerjasama pengajian yang diadakan dengan pihak-pihak lain di luar IPSI. Ruang lingkup dan sempadan jangkauan IPSI merentas tembok itu sendiri. IPSI bergerak seiring dengan kemajuan institusi-institusi pengajian tinggi awam lain dalam konteks merealisasikan matlamat kerajaan untuk menghasilkan tenaga pengajar yang berwibawa dan bermanfaat demi kesejahteraan masyarakat dan negara. Peranan IPSI berterusan hingga ke tahun 1993 apabila pada masa itu sistem latihan perguruan mengamalkan sistem bersepadu, iaitu sesebuah maktab perguruan melatih guru-guru untuk sekolah rendah dan menengah.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Genap usia sepuluh tahun, IPSI memasuki era barunya pada tahun 1997 dengan langkah yang penuh bergaya apabila institusi ini secara rasmi dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti. Bagi menjalankan perintah kerajaan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 132 & 133 bertarikh 24 Februari 1997, maka bermula 1 Mei 1997, tertubuhlah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikenali hari ini dengan nama singkatannya UPSI.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula beroperasi pada 2 Mei 1997 dengan pelajarnya seramai 350 orang. Datuk Dr. Ashari Che Mat telah dilantik sebagai Naib Canselor Pertama manakala Profesor Dr. Abu Bakar Nordin (kini bergelar Dato’) sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik. Mereka dibantu oleh Encik Sayuti Sahlan, Encik Yusof Semahil dan Encik Rusley Taib untuk membangunkan UPSI dalam serba kekurangan.

Berbekalkan enam orang kakitangan pentadbiran dan 29 orang tenaga akademik yang kebanyakannya dipinjamkan dari pelbagai agensi Kementerian Pendidikan Malaysia, UPSI mengorak langkah ke gelanggang pendidikan dengan semangat dan cita-cita murni. Ternyata, tidak mudah bagi UPSI menarik nafas lega, kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kekentalan semangat dan iltizam beserta dorongan Kementerian Pendidikan, UPSI menapak langkah demi langkah membina kekuatan diri berdiri atas kemampuan sendiri yang akhirnya berjaya menempatkan dirinya seiring dengan perkembangan institusi pengajian tinggi yang lain waktu ini.
Pembangunan infrastruktur bermula dengan pembinaan Bangunan Canselori pada tahun 1999 dan Kompleks Kediaman Siswa di Behrang Ulu. Pada awal tahun 2001, pembangunan semakin rancak dilaksanakan dengan pembinaan Gimnasium, Perpustakaan, Auditorium, Kompleks Pendidikan Muzik, dewan-dewan kuliah dan lain-lain. Beberapa kemudahan sedia ada yang merupakan warisan SITC-MPSI-IPSI dibaik pulih dengan beberapa pembaharuan, sesuai dengan kemajuan teknologi di samping mengekalkan struktur asalnya. Pembangunan yang rancak ini telah menampilkan imej UPSI sebagai sebuah institusi pengajian tinggi. Nama UPSI terpancar sebagai simbol keunggulan institusi ini sebagai sebuah universiti yang sepenuhnya menawarkan program pengajian pendidikan baik di peringkat ijazah sarjana muda mahupun lanjutan.

Pada awal penubuhannya, terdapat hanya empat buah fakulti yang menawarkan sepuluh program pengajian. Fakulti-fakulti tersebut adalah Fakulti Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, Fakulti Sains dan Teknologi, dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Jumlah program pengajian bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, dua buah fakulti baharu ditubuhkan, iaitu Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, menjadikan jumlah fakulti sehingga itu enam buah dengan jumlah 19 kursus pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Peningkatan ini menggambarkan perubahan besar yang dilakukan bagi menampung keperluan akademik dan jumlah pelajar yang kian bertambah.

Sehingga kini, sebanyak sembilan buah fakulti sudah ditubuhkan dan fakulti tersebut adalah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Fakulti Sains dan Matematik (FSMT), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSK), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), dan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK). UPSI juga sudah mempunyai 54 program pengajian ( 7 Program Diploma, 35 Program Sarjana Muda Pendidikan, 4 Program Sarjana Muda Dengan Pendidikan, dan 8 Program Ijazah Sarjana Muda). Selain itu, Institut Pengajian Siswazah (IPS) menawarkan 173 Program Pengajian (103 Program Sarjana dan 70 Program Doktor Falsafah).

Kampus Sultan Abdul Jalil Shah

Majlis Pecah Tanah Kampus Sultan Azlan Shah telah disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 22 April 2002. Dalam titah perasmiannya baginda telah mengumumkan nama kampus utama UPSI sebagai Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang lokasinya di Tanjung Malim manakala untuk kampus baru di Proton City diberi nama Kampus Sultan Azlan Shah.

Kampus Sultan Azlan Shah
 

Kampus Sultan Azlan Shah telah dirancang bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-8 lagi. Dengan adanya kampus baru ini, infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di UPSI dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih sempurna sejajar dengan kehendak kerajaan bagi memperkasa dan meningkatkan mutu pendidikan institut pengajian tinggi awam.

Pada 20 Februari 2012, Kampus Sultan Azlan Shah dengan rasminya beroperasi dengan menempatkan beberapa fakulti seperti Blok 1 - Blok 6 untuk Fakulti Sains & Matematik, Blok 7 - Blok 9 untuk Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Blok 10 untuk Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Dewan Kuliah Berpusat, Dewan Besar dan Panggung Percubaan, Kafetaria, Rotu, Balai Pengawal dan Pos Pengawal, Pusat Pelajar, Pusat Komputer, Surau dan Pusat Islam.

Kampus ini terletak berdekatan kira-kira 8 km dari kampus sedia ada iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Tapak yang bertempat di Bandar Baru Proton City ini akan memberikan satu impak pembangunan kepada kawasan sekitar terutamanya kepada bandar Proton City. Kampus yang berdekatan dengan Pusat Komersial Bandar Proton dan Kilang Proton ini juga lengkap dengan kawasan berlatar belakangkan kehijauan Banjaran Titiwangsa yang segar dan mengasyikkan. Keindahan sumber alam semulajadi ini akan memberikan satu persekitaran yang sempurna untuk menambah nilai dalam proses pembelajaran pelajar. Kampus baru ini telah dirasmikan dengan jaya dan penuh bersejarah oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 16 Jun 2012.

Kemasukan Pelajar UPSI
Jika dilihat dari segi bilangan pengambilan pelajar dalam tempoh lima belas tahun (1997 - 2012), peratus pengambilan amat besar jika dibandingkan dengan perancangan awal penubuhan universiti ini. Minat pelajar lulusan STPM, Diploma atau yang setaraf dengannya amat tinggi sekali dan umum mengetahui bahawa UPSI adalah IPTA paling popular menjadi pilihan pelajar. Dari seramai 338 orang pelajar pada tahun 1997, sehingga kini (2012) enrolmen pelajar UPSI menjangkau 30,087 pelajar Ijazah Sarjana Muda, 5,476 pelajar Diploma Pendidikan, 308 pelajar diploma dan pelajar pasca siswazah seramai 2,164 orang. Jumlah keseluruhan enrolmen pelajar UPSI 2012 adalah 29,075 orang.
Sehingga Istiadat Konvokesyen Ke-14 yang berakhir pada 9 Mei 2012 lalu (1999 – 2012), UPSI telah melahirkan seramai 38,035 graduan sarjana muda, diploma, dan ijazah lanjutan (Kedoktoran dan Sarjana).

SUMBER: http://www.upsi.edu.my/index.php/en/pengenalan/pengenalan-upsi/sejarah-upsi

No comments:

Post a Comment